BIOGRAFI

AZMAN ADNAN

BUDAK FLAT

Kembara bermula di Flat Sri Melaka, Kuala Lumpur. Azman bin Adnan dilahirkan pada 1 November 1971 di Kem Terendak, Melaka. Ayah beliau, Adnan Ahmad (Allahyarham) yang dikenali sebagai ‘Pak Nan’, berasal dari Chembong, Rembau, Negeri Sembilan manakala ibunya, Puan Ramlah Daud dari Pedas, Negeri Sembilan.

Sewaktu di bangku darjah lima, Pak Nan sudah mula menjadi jurulatih Azman yang paling dekat dengannya. Ketika itu, Azman masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Pasar Satu, Pudu. Walaupun bersaiz kecil, Azman saban petang bercampur dan bermain bola dengan orang-orang dewasa di kawasan rumahnya. Ketika itu, ramai yang memuji kebolehan Azman menggelecek pemain-pemain yang lebih dewasa daripadanya.

Setiap hari, Pak Nan akan melatih Azman di padang berhampiran kediaman mereka di Flat Sri Melaka, Cheras. Pak Nan turut mengurus dan melatih sebuah kelab bola sepak yang terkenal di Kuala Lumpur ketika itu iaitu ‘Kotai FC’, mengambil sempena nama timangan Azman iaitu ‘Kotai’.

Azman merupakan bekas penuntut Sekolah Menengah Jalan Cochrane atau Cochrane Road School (kini dikenali sebagai SMK Cochrane). Di bangku sekolah menengah, Azman dibimbing pula oleh Cikgu Yusoff Ali, jurulatih bola sepak sekolahnya. Cikgu Yusoff mula mengesan bakat Azman sejak pemain itu berada di tingkatan satu lagi, di mana larian pantas dan kemahiran Azman dilihat agak tinggi berbanding rakan-rakan sebayanya.

Bakat kepimpinan Azman juga sudah bermula sejak di bangku sekolah selepas menerima ‘Anugerah Badan Ketua Sukan (Bola Sepak)’ SM Jalan Cochrane untuk Tahun 1987-1988

“Beliau adalah jelmaan Mokhtar Dahari,

penyerang ikonik negara” - Media

KUALA LUMPUR FA

Azman mula beraksi untuk Kuala Lumpur sewaktu Pertandingan Piala Rahman, Piala Razak dan Piala Presiden (1987-1989), di mana beliau menerima ‘Anugerah Penyerang Terbaik Bawah 18 Tahun’ sewaktu Kejohanan Piala Razak, selain menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan tersebut.

Pada 1991, Azman mula membarisi skuad senior KLFA, yang dibintangi ramai pemain senior yang berpengalaman. Tahun 1992 menyaksikan Azman membantu KLFA untuk layak ke Perlawanan Akhir Piala FA 1992, tetapi tewas 1-2 kepada Sarawak di Stadium Negeri, Kuching. Kejayaan Azman menjaringkan 22 gol untuk Kuala Lumpur dalam saingan musim 1992 ketika hanya berusia 21 tahun, telah menarik minat Selangor untuk mendapatkan khidmat beliau.

Tahun 1992 juga menyaksikan Azman menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik 1992. Azman juga berjaya membawa Kuala Lumpur ke Separuh Akhir Piala Malaysia pada tahun 1991 dan 1992.

Azman Adnan menjadi penjaring ketiga terbanyak saingan Liga Semi-Pro 1992 dengan 9 gol manakala Michael Vana (Sabah) menjaringkan 10 gol. Azman telah menerima Anugerah Pemain Cemerlang 1992 yang diberikan oleh Kelab Penyokong Bola Sepak KLFA selepas perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia 1992 bertemu Kedah (pada 23 Oktober 1992). Azman juga menerima Anugerah Personaliti Terbaik Tahun 1992 dan Bakat Baru 1992 yang diberikan berdasarkan undian para pembaca ruangan akhbar Mail Sport.

Azman Adnan yang merupakan pemain muda sensasi ketika itu, mula dinobat dan dimartabatkan sebagai calon pengganti penyerang legenda, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (SuperMokh).

Pasukan Kuala Lumpur FA
‘terpaksa’ melepaskan Azman
dengan nilai RM1 JUTA!

SELANGOR FA

Pada 2 Januari 1993, Azman yang ketika itu berusia 21 tahun menandatangani kontrak selama 5 tahun bersama pasukan Selangor.

Azman mula menjaringkan gol untuk Selangor pada apabila Selangor menumpaskan Polis 10-1. Azman menjaringkan empat gol dalam perlawanan tersebut menewaskan penjaga gol legenda, Ong Yu Tiang yang sebelum itu pernah beraksi bersama Selangor. Kemenangan ini adalah yang terbesar sejak Liga Semi-Pro dilancarkan pada 1989.

Azman berjaya membantu skuad Merah Kuning untuk mengungguli Divisyen Dua, mengatasi Singapura FA di tempat kedua dan menjadi penjaring kedua terbanyak liga dengan 17 gol.

Pada tahun 2002, Azman kembali mewakili “Gergasi Merah” Selangor setelah berhijrah ke Pasukan Pulau Pinang pada tahun 1998. Azman bermulalangkah kanan apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih pada tahun 2002 bersama Selangor. Kejayaan manis itu dilengkapkan dengan trofi Piala Malaysia yang dijulang oleh Azman dan rakan-rakan di Selangor FA.

Azman menabur bakti bersama skuad Selangor FA sehingga tahun 1998 dengan pelbagai kejuraan dan jaringan sehingga menerima pingat penghargaan daripada kelab penyokong tertua di Malaysia, Selangor Soccer Fans Club (SSFC) sebagai tanda sumbangan beliau dihargai oleh penyokong ‘The Red Giants’.

BERSARA SEBAGAI PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL Azman mengambil keputusan untuk menggantung kasut bolanya pada tahun 2004. Sepanjang kerjaya bola sepaknya yang penuh warna-warni, Azman muncul sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Merah-Kuning, dengan 159 gol, dibelakang Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari dengan 177 gol.

HARIMAU MALAYA

SKUAD KELAYAKAN OLIMPIK BARCELONA 1991

Azman terpilih dalam skuad Kelayakan Olimpik Barcelona di bawah kendalian jurulatih, Chow Kwai Lam, ditubuhkan selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengehadkan sukan bola sepak kepada pemain Bawah 23 tahun pada tahun 1991.

Pengurus skuad Projek Barcelona 1992 ialah Tengku Mahkota Pahang,Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Azman Adnan, ketika itu berusia 19 tahun, telah menjaringkan empat gol sewaktu Kelayakan Sukan Olimpik Barcelona 1992 di Stadium Olimpik Seoul, Korea Selatan.

Pada asalnya, Azman hanyalah penyerang simpanan yang masuk menggantikan Adnan Ibrahim, namun aksi dan ketajaman penyudahnya benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada banyak pihak.

KELAYAKAN PIALA DUNIA 1994 DAN 1998

Azman turut beraksi pada Peringkat Pertama Kelayakan Piala Dunia 1994 . Ketika kempen kelayakan 1998, Azman berjaya menjaringkan satu gol cemerlang ketika menentang Bangladesh yang dibimbing oleh Otto Pfister dari Jerman. Gol tersebut dihasilkan dari jarak 30 meter. Ini diakui oleh Azman sebagai antara jaringan paling bermakna dalam kerjaya bola sepak beliau.

SUKAN ASIA HIROSHIMA 1994 Azman turut menganggotai skuad Sukan Asia Hiroshima 1994 di bawah bimbingan jurulatih, Claude Le Roy dan penolong jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan.

NAIB JOHAN PIALA TIGER 1996 Pada 1996, Azman berjaya membawa pasukan negara menjadi Naib Johan kejohanan sulung Piala Tiger dan kini dikenali sebagai Piala AFF Suzuki.

KEJOHANAN PIALA DUNIA FUTSAL FIFA KETIGA 1996 Sewaktu sukan futsal belum begitu dikenali di negara kita, Azman telah pun mewakili skuad Malaysia di Kejohanan Piala Dunia Futsal (5 Sebelah) FIFA Ketiga di Sepanyol.

TAHUKAH ANDA?

KEJOHANAN
PIALA DUNIA FUTSAL
FIFA KETIGA 1996

Azman pernah mewakili skuad Malaysia di Kejohanan Piala Dunia Futsal (5 Sebelah) FIFA Ketiga di Sepanyol pada 24 November 1996 hingga 8 Disember 1996

PULAU PINANG &
NEGERI SEMBILAN FA

Pada tahun 1999, Azman bermain dengan pasukan Pulau Pinang dan telah berjaya memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Premier 1 Malaysia apabila menjaringkan 13 gol buat pasukan Pulau Pinang.

Azman menjadi penjaring terbanyak Liga Premier 1 dengan 13 gol. Sewaktu di Pulau Pinang, Azman turut diberi penghormatan selaku kapten pasukan tersebut2 Tahun 2000, Azman berhijrah ke Negeri Sembilan FA dan berjaya melangkah ke Final Piala Malaysia 2000. Untuk musim 2001 pula, Azman membantu Negeri Sembilan untuk berjaya melayakkan diri ke saingan Suku Akhir Piala Malaysia sebelum berhijrah kembali pasukan Selangor.

Pada Musim 2003 menyaksikan Azman memilih untuk menyarung jersi skuad Negeri Sembilan sekali lagi. Musim tersebut juga menyaksikan Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan Perlis, 2-1, di Stadium Perak, Ipoh.

SEHATI “BERDANSA”
AZMAN & AS FEMININ

KEHIDUPAN PERIBADI

Azman memilih penyanyi kumpulan Feminin iaitu Asfarina Muhamad ataupun lebih dikenali sebagai As Feminin sebagai teman hidupnya yang baru. Azman telah berkahwin pada 14 Disember 2004 dan telah memiliki empat orang cahaya mata sehingga kini.

Azman & As pernah tampil berdua menerusi program Sehati Berdansa terbitan Astro pada 2007

COACH “MAN TURN”

PENOLONG JURULATIH DAN KETUA JURULATIH PDRM FA

Azman tampil sebagai Penolong Jurulatih PDRM FA kepada Dollah Salleh. ‘Sang Saka Biru’ dan ‘The Cops’ menduduki tangga ke-7 Liga Perdana pada musim 2013.

Pada musim 2014, Azman menggalas tugas selaku Ketua Jurulatih skuad Malaysia, “The Cops” berjaya mencipta kejutan dalam kancah Liga-M apabila muncul selaku Juara Liga Perdana dan layak ke peringkat Suku Akhir Piala Malaysia 2014. Sentuhan magis Azman membawa “The Cops” ke saingan divisyen satu untuk musim 2015.

JURULATIH KELAB M3, TUN RAZAK FC Status sebagai penyerang legenda negara bukan penghalang untuk Azman Adnan turun ke padang membantu kelab amatur M3, Tun Razak FC. Beliau turut dibantu oleh dua orang bekas pemain kebangsaan yang turut sama bermain bersama pasukan bimbingan ayahnya ketika era 80an dan 90an di Flat Sri Melaka - Kotai FC, iaitu Azrul Amri Burhan dan Ivan Yusoff.

“Sebagai pemain profesional, fokus saya hanyalah memberi yang terbaik untuk
Pasukan, Negara dan Keluarga tercinta. Saya tidak pernah mengimpikan
untuk disanjung apatah lagi untuk digelar sebagai lagenda ”